Home Perniagaan Internet Adakah Polisi Pengembalian Semula Wang Pelanggan Di ClickBank Merugikan Penjual?

Menyenaraikan produk di ClickBank untuk dijual, merupakan satu harapan yang tinggi bagi penjual menghasilkan jualan dan keuntungan yang banyak. Penjual juga mengharapkan produk yang bakal dijual akan dipromosikan oleh ribuan affiliate ClickBank yang sedia ada. Mana tidaknya, ClickBank dikatakan lubuk emas bagi affiliate dan juga penjual produk digital.
Sungguh mengujakan apabila produk anda sudahpun diletakkan dalam senarai produk jualan di ClickBank dan jualan mula terhasil. Tanpa diduga, sesuatu yang tidak disangka berlaku iaitu, pembeli meminta wang dikembalikan semula selepas membuat pembayaran. Anda bingung kenapa ianya boleh berlaku kepada anda walhal produk anda sudahpun tinggi kualitinya.
Sebenarnya, polisi jaminan pengembalian semula wang yang diamalkan di ClickBank bertujuan baik kerana ianya memberi keyakinan kepada pembeli membuat pembelian tanpa sebarang keraguan. Pengembalian semula wang ini juga dikendalikan oleh ClickBank sepenuhnya tanpa pembeli perlu berhubung terus dengan penjual.
Malangnya, polisi pengembalian semula wang yang merupakan satu jaminan perlindungan pembeli yang kukuh, juga merupakan satu jalan belakang kepada mereka yang cuba menipu sistem ClickBank ini.

Walaupun anda mempunyai produk yang terbaik di pasaran dengan pelbagai testimoni hebat daripada pembeli yang berpuas hati dengan pembelian mereka, anda akan menerima permintaan wang dikembalikan semula dari semasa ke semasa. Tiada pengecualian untuk anda.Ini memang sudah dijangka.Namun, jika ianya berlaku disebabkan pembeli tersebut ingin mendapatkan produk digital anda secara percuma, ianya adalah salah dari segi etika.

Secara statistiknya, ClickBank menganggarkan sebanyak 5 peratus daripada keseluruhan jualan yang meminta pengembalian semula wang. Jika anda memberi jaminan pengembalian semula wang kepada pembeli, anda harus bersedia menerima pelbagai aduan. Aduan yang diterima adakalanya memang ikhlas dan tepat, namun ada juga yang langsung tidak masuk akal. Sesetengahnya tidak akan peduli untuk memberi sebarang alasan kenapa mereka meminta wang mereka dikembalikan. Sebaik membeli sesuatu produk sahaja, terus meminta wang dikembalikan.
Berdasarkan apa yang dibincangkan di atas, kebarangkalian untuk anda berurusan dengan pembeli tidak beretika memang ada, contohnya meminta pengembalian wang semula semata-mata untuk mendapatkan produk digital anda secara percuma.

Masalahnya, semua produk yang disenaraikan di ClickBank adalah produk digital. Ini bermakna e-book, perisian, dan muzik yang anda jual boleh dibeli dengan mudah dan selepas pembelian dibuat, si pembeli akan meminta wang dikembalikan dengan mudah sekali tanpa perlu memberikan apa-apa alasan kenapa wang minta dikembalikan.

Dan disebabkan produk yang dijual adalah produk digital, ianya tidak masuk akal untuk meminta semula produk yang anda jual kerana si pembeli mungkin sudahpun membuat salinan produk anda ke dalam komputer mereka. Dalam kes pengembalian wang semula disebabkan si pembeli ini ingin mendapatkan produk anda secara percuma, saya berani klasifikasikan kes ini sebagai kes curi, tidak kira apa jua alasan yang diberikan oleh pembeli.Saya akui bahawa masalah ini masih sukar diatasi. Walaupun ClickBank berpadu tenaga untuk membanteras masalah penipuan sebegini, jalan penyelesaiannya masih lagi lemah.

Sistem untuk mengesan si penipu boleh dicipta di mana rekod pembelian seseorang boleh dimasukkan ke dalam database dan sistem ini akan mengesan kekerapan pembeli membuat permintaan pengembalian wang semula. Kemudian, sekiranya sistem ini berfungsi dengan baik, ClickBank boleh memberhentikan pengembalian wang semula kepada pembeli ini. Seterusnya, si pembeli yang tidak beretika ini akan menghadapi masalah untuk membuat cubaan menipu sistem Clickbank ini lagi.

Walaubagaimanapun, dalam setiap sistem yang dicipta oleh ClickBank atau sesiapa sahaja pun, pasti ada jalan belakang atau kekangannya sendiri. Sebagai contoh, pembeli yang sama ini boleh menggunakan kad kredit atau akaun Paypal yang berlainan untuk membeli barangan di ClickBank. Masalah yang sama akan berulang dan sistem pengesanan yang sepatutnya efektif ini juga akan menjadi masalah di kemudian hari nanti.

Memang melegakan jika masalah etika pengembalian wang semula ini dapat diselesaikan tetapi buat masa sekarang ianya belum dapat dilakukan lagi. Saya pasti ClickBank sedang mengambil tindakan lanjut mengenai perkara ini.Walaubagaimanapun, polisi pengembalian semula wang pembeli ini masih relevan untuk digunakan kerana polisi inilah yang menjadikan “ClickBank Marketplace” sebuah platform yang kukuh untuk memberi jaminan kepuasan pelanggan. Cuma 5% sahaja wujudnya kes pengembalian wang semula ini dan jika 95% daripada jualan dapat dihasilkan dengan sempurna, saya rasa ianya cukup bagus untuk anda menjual produk digital anda di ClickBank. Jangan takut untuk menyenaraikan produk anda di ClickBank kerana keuntungan yang besar masih lagi menanti anda.

 

Mengenai Penulis

Zamri Nanyan mula berkecimpung dalam perniagaan Internet sejak tahun 2003. Internet juga memberikan Zamri kebebasan untuk meluahkan fikiran beliau, menambah ramai kenalan dari serata dunia dan menjana pendapatan pada masa yang sama. Salah satu panduan ClickBank yang beliau sarankan ialah “The Guru Slayer Systems” .

Leave a Reply

Anti-spam: complete the taskWordPress CAPTCHA